RESIPI KUIH KASWI LABU

rsz_kklm
Assalammualaikum, hai semua...sihat ke?..Hari ni che mat nak berkongsi dengan anda resipi kaswi labu. Ini pertama kali che mat bikin kaswi labu, lari dari kebiasaan. Kalau kuih kaswi gula merah dan kaswi pandan dah biasa bikin. Kejadian kaswi labu ni semua gara2 dari lebihan secoreng labu dalam peti sejuk. Dua tiga hari lepas che mat ada masak lemak labu taruk daun turi, nak dihabiskan  semua labu tu agak banyak sebab kami kan tinggal bertiga sahaja. Jadi che mat potong secoreng dan simpan dalam peti sejuk. Nyaris2 dah terlupa, dari membazir meh kita bikin sesuatu untuk dimakan, lagi pun mak che mat berpuasa sunat Khamis hari ni, boleh juga dia makan waktu berbuka nanti, yea dak...

rsz_kklm1
Resipi sebenarnya ada banyak kat internet, google ajer, berderet keluar resipi kaswi labu, tapi kebanyakkan blogger guna resipi yang sama. Yang ini che mat cedok dari blog Kak Wan, tapi buat 1/2 sahaja dari resipi asal, itu pun dah banyak juga sebab che mat guna acuan kuih lompang( cawan teh cina yang kecil2 tu). Dan che mat tambah sedikit air kapur dan pewarna makanan, sebab labu tu pucat sangat, Kalau labu anda elok warnanya, tak perlu guna pewarna. Tapikan ada satu yang kurang puas hati sikit, tentang kelapa dia. Kalau dapat untuk makan kuih kaswi, apam atau untuk bikin serunding, biar parutan kelapa dia kasar sedikit. Yang macam dalam gambar tu halus, yang tu sesuai kalau kita nak perah untuk santan. Tapi kurang sesuai untuk makan dengan kuih, rasa berhampas walaupun kelapa jenis kulit basah (kelapa inti). Apa2 pun dah selamat masuk perut, alhamdulillah. Ok resipi che mat kongsikan kat bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
200 gram labu yang telah dikupas kulitnya
90 gram gula pasir (resipi asal 100 gram)
125 ml santan pekat (guna santan kotak)
125 gram tepung ubi*
125 gram tepung gandum*
1 camca besar rata tepung jagung*(*disatukan dan gaul rata)
175 ml air
1/4 camca teh garam
1/2 camca teh air kapur makan
Beberapa titik pewarna makanan kuning telur (optional)
1 helai daun pandan
Kelapa parut putih + secubit garam = gaul rata dan kukus 5 minit, sejukkan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kukus labu hingga lembu, ketepikan. Santan, gula, garam, air dan daun pandan dimasukkan ke dalam periuk kecil. Masak dengan api kecil sambil dikacau hingga gula larut, tak perlu sampai mendidih. Sejukkan dan tapis.
  2. Masukkan labu ke dalam mesin pengisar (blender) bersama santan yang telah dimasak tadi. Kisar halus dan tuang ke dalam mangkuk. Masukkan tepung yang telah disatukan tadi sedikit demi sedikit sambil dikacau dengan whisk hingga licin. Kemudian tapis, tambah pewarna kuning makanan dan air kapur. Kacau hingga semua rata dan sebati.
  3. Panaskan kukus, balut tutup kukus dengan tuala dapur bersih. Sapu acuan kuih lompang dengan sedikit minyak makan. Tuang bancuhan kuih  kedalam acuan hingga hampir penuh. Kukus selama 20 minit, gunakan api sederhana. Bila masak sejukkan sekejap dan keluarkan kuih kaswi labu dari acuan. Gaulkan dengan kelapa parut dan boleh hidangkan...Selamat mencuba!

Subscribe to receive free email updates: