Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak kongsikan resipi rojak petis. Mungkin semua dah biasa makan rojak petis. apa tah lagi kurang lebih seminggu, in sha Allah kita akan berpuasa. Memandangkan bulan puasa tahun ni berbeza dari tahun2 sebelumnya, tiada bazar ramadan, maka kebanyakkan makanan untuk juadah berbuka kena lah kita buat sendiri. Salah satu hidangan popular tak kira lah di bulan puasa atau hari2 biasa, ialah rojak petis. Semalam che mat kemas2 pantry, dan terjumpa satu botol petis atau otak udang. Tiba2 idea datang nak buat rojak petis, tapi sebelum tu kita buat dulu kuah dia, buat lebih2 dan simpan dalam peti sejuk, nanti time teringin boleh ajer bancuh terus, kalau takde bahan2 rojak petis, kita guna buah2an pun ok, jadi lah rojak buah, yea dak. Kan kita yang buat dia. Kuah rojak petis ni che mat masak dulu dengan bahan2 lain. Ada resipi yang perlukan kuah dimasak 3 - 4 jam, mungkin mereka buat dalam kuantiti yang banyak dan untuk disimpan lama. Macam che mat buat ni takde lah masak sampai sebegitu lama, lebih kurang 1 jam saja dah siap, lepas tu bila dah sejuk, kita taruk dalam bekas bersih dan kering, simpan dalam peti sejuk agar tahan lama.
Seperti yang kita tau rojak petis biasanya menggunakan bahan asas seperti timun, nanas, sengkuang, taugeh celur, tauhu goreng dan kangkung. Pada che mat yang itu sudah memadai, tak perlu ditambah benda2 lain seperti tempe goreng, cakoi dan entah apa benda2 merepek lagi sehingga hilang keaslian rojak petis. Ada yang suka rojak petis agak pedas dan ada yang tidak. Itu tidak menjadi masalah, masa membancuh tu kita boleh masukkan cili padi yang ditumbuk. Kuah rojak resipi che mat ni tak pedas, kerana menggunakan cili kisar sahaja, Jadi kita boleh tambah kendian cili padi, bagi sapa yang suka pedas. Kalau kuah tu kita buat pedas, kesian pulak kat anak2 bila dia orang makan nanti. Resipi ini akan menghasilkan kuah rojak petis yang agak banyak juga dan jika nak mencuba, jomm kita semak resipi kat bawah ni..
BAHAN - BAHAN KUAH ROJAK PETIS :-)
1 bekas petis @ otak udang
4 camca besar sos hoisin jenama LIFE, contoh di sini
3 camca besar cili kisar
1/2 cawan sos cili
1/2 cawan kicap pekat Jalen
1/2 cawan kicap lemak manis Jalen
2 camca besar pes asam jawa Adabi
1 cawan hirisan gula melaka
2 - 3 camca besar gula pasir
2 camca besar belacan, dilarutkan dengan 1/2 cawan air
1.5 liter air
1 camca besar tepung jagung, dibancuh dengan 1/2 cawan air, kacau rata
BAHAN - BAHAN ROJAK PETIS :-)
Tauhu, digoreng dan hiris
Taugeh, dibersihkan, taruk dalam tapis dan siram dengan air panas mendidih
Kangkung secukupnya, dicelur
Sengkuang, dihiris
Timun, dihiris
Nanas, dihiris
Kacang tanah tumbuk secukupnya
Cili padi secukupnya, ditumbuk halus
Gula, jika perlu
CARA MEMBUATNYA :-)
- UNTUK KUAH ROJAK PETIS :- Dalam periuk, masukkan ke semua bahan2 untuk kuah rojak petis kecuali bancuhan tepung jagung. Kacau hingga semua rata dan masak hingga mendidih. Kecilkan api dan terus memasak kurang lebih selama 1 jam, kacau sentiasa dan jika perlu boleh tambah sedikit air panas. Masukkan bancuhan tepung jagung, kacau dan masak hingga kuah rojak pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Biarkan sejuk dan boleh simpan dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama.
- UNTUK ROJAK PETIS :- Dalam mangkuk atau bekas besar, masukkan secukupnya kuah rojak petis (kuah akan menjadi lebih pekat bila dah sejuk). Masukkan 1 - 2 camca besar kacang tumbuk, atau secukupnya. Tambah cili padi tumbuk, yang ni ikut suka, nak pedas atau tidak. Kacau rata dengan senduk. Masukkan tauhu, taugeh, kangkung, timun, sengkuang dan nanas (yang ni pun pandai2 lah budget nak makan berapa orang). Gaul hingga semuanya rata.
- Alih rojak ke dalam bekas sesuai, taburkan dengan sedikit lagi kacang tumbuk atasnya dan boleh hidangkan segera. Selamat mencuba!